Tuesday, March 29, 2016

Laporan semasa projek bantu baiki laptop/PC pelajar miskin



Laporan semasa projek bantu baiki laptop/PC pelajar miskin. Projek ini bermula awal Februari 2016. Sehingga akhir Mac 2016 seramai 8 orang pelajar miskin yang perlukan sumbangan untuk membaiki laptop/PC mereka telah dibantu hasil sumbangan orang ramai serta rakan-rakan FB semua. Pelajar yang dibantu tersebut ialah seorang pelajar Kolej Vokasional, seorang pelajar UPSI, seorang pelajar Politeknik, 4 orang pelajar UITM dan seorang pelajar Tingkatan 6 yang melibatkan kos berjumlah RM2,896.00. Pelajar ini dipilih setelah dibuat tapisan, kerana ada yang kami fikirkan tidak layak untuk mendapat bantuan kerana keluarga mereka berkemampuan. Terima kasih sekali lagi kepada mereka yang telah membantu pelajar-pelajar ini. Program ini akan diteruskan selagi ada keperluan serta ada penyumbang. 


Sumbangan buku sekolah



Baru-baru ini ada rakan FB telah menghadiahkan buku-buku untuk pelajar Tingkatan 6. Hari ini sahabat kami Firdaus telah menyampaikan kepada pelajar yang memerlukan di SMK Dato Sheikh Ahmad, Seremban. Terima kasih kepada yang menyumbang dan yang sudi menerima sumbangan.




Thursday, March 24, 2016

Projek Bantu Pelajar Miskin Baiki Laptop



Laptop pelajar UITM Seremban 3 yang yatim piatu telah pun dibaiki dan diserahkan kepada pelajar tersebut oleh Sdr Firdaus. Terima kasih kepada individu yang telah memberikan sumbangan.


Sumbangan naskhah Al Quran



Tuan Haji Ishak bin Haji Omar, sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan menyampaikan naskhah Al Quran untuk kegunaan pelajar asrama SMK Tunku Besar Tampin. Terima kasih kepada mereka yang telah menghadiahkan naskhah Al Quran ini.



Monday, March 21, 2016

Tadah air hujan dengan besen



Tadah air hujan dengan besen
22 Mac 2016



KUALA PILAH – “Bila hujan je, besen dan kain diletakkan merata-rata tempat untuk takung air,” kata penghuni rumah pusaka lebih 100 tahun, di Kampung Bemban, Faudziah Mohd Sharif, 54.

Faudziah berkata, rumah pusaka itu pernah diganti bumbungnya pada tahun 1962 semasa ibu bapanya masih hidup.

Namun, setelah pemergian mereka, kata Faudziah, rumah itu kini dijaga mereka enam beradik.

“Saya anak bongsu, masih bujang, manakala kesemua kakak telah mendirikan rumah tangga dan telah berpindah ke tempat lain.

“Tapi mereka selalu pulang kerana bimbangkan keselamatan saya yang tinggal seorang diri. Kami enam beradik memang telah berbincang untuk membaik pulih bumbung, namun kosnya terlalu mahal.

“Kami tak mampu dan hanya berharap bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya yang menghidapi diabetes dan tidak bekerja.

Menurutnya, keadaan bumbung rumah itu semakin usang dan terlalu banyak kebocoran, sekali gus perlu diganti.

“Saya tiada pilihan lain kerana ini sajalah tempat tinggal yang ada untuk berteduh.

“Kayu-kayu dinding yang ada juga perlu diganti kerana dah mula reput dimakan anai-anai,” katanya.

Tambah Faudziah, dia mula menetap di kampung itu selepas berhenti kerja di Seremban pada 2012.

“Saya dah berusia dan tak larat bekerja. Jadi, saya ambil keputusan pulang ke kampung halaman dan memelihara rumah pusaka ni.

“Permohonan baik pulih bumbung telah dimohon terlebih awal kepada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) pada 2008. Pihak terbabit ada datang lihat rumah pada 2009, namun waktu tu saya tiada di rumah kerana bekerja di Seremban.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Bemban, Ibrahim Taeh ketika dihubungi berkata, permohonan Faudziah telah dimasukkan dalam senarai bantuan baik pulih bumbung pada tahun lalu.

“Seramai 10 penduduk Kampung Bemban termasuk Faudziah telah terpilih untuk menerima bantuan itu.

“Bagaimanapun, bantuan yang disalurkan Felda itu dikatakan masih belum ada peruntukan. Jadi, saya harap pemohon bersabar sementara menunggu peruntukan,” katanya.

Projek Jiwa Murni baiki rumah keluarga asnaf yang usang lagi daif



Rumah di Kg Nerambai, Lubok China, Rembau ini sebelum ini tiada pintu, hanya ditutup dengan plastik, salur atapnya bocor teruk, lampunya rosak. Hasil sumbangan orang ramai ianya telah dibaiki. Masih banyak lagi rumah yang perlu dibaiki akan tetapi penghuninya tidak mampu untuk membaikinya. Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan untuk membaiki rumah-rumah daif, usang di N.Sembilan sila hubungi 0122267406 Rozmal, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan