Kepada mereka yang ingin membantu Pusat Jagaan Anak-Anak
Yatim dan Miskin di Taman Satria, Senawang sila hubungi Ustaz Mohd Zatullah
Kamarudin 0136369726 atau salurkan ke akaun Bank Islam 05067010010895 atas nama
Anak Yatim Walidaina atau akaun Bank Islam 05067010003232 atas nama Syababus
Satria
Berkorban demi anak yatim
30 Januari 2017
SEREMBAN - Kehidupannya bersama isteri sebelum ini jauh
lebih selesa berbanding sekarang, namun seorang ustaz muda sanggup meninggalkan
semua itu semata-mata mahu membuka pusat jagaan anak yatim.
Rasa simpati dengan kehidupan anak-anak kurang bernasib baik
ini dengan pengalamannya yang pernah bekerja di rumah anak yatim menyebabkan
Mohd Zatullah Kamarudin, 25, rasa terpanggil untuk sama-sama bertanggungjawab,
lantas membuka Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina di Taman Satria, Senawang di
sini.
Mohd Zatullah yang merupakan pemegang Diploma Syariah dan
Undang-Undang dari Kolej Universiti Islam Pahang itu berkata, dia membuat
keputusan untuk berhenti kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah rumah anak
yatim dan maahad Tahfiz di negeri ini, hujung tahun lalu.
“Melihat anak-anak yatim, hati saya jadi sayu. Bagaimanalah
perasaan dan kehidupan mereka selepas kehilangan tempat bergantung. Hati saya
membuak-buak untuk membantu dan selepas berbincang dengan isteri, saya nekad
berhenti kerja dan membuka rumah anak yatim,” katanya.
Berbekalkan sedikit duit simpanan yang ada, dia mengubah
suai rumah sewanya dan membeli katil serta almari pakaian bagi kegunaan
penghuni di situ yang kini mempunyai seramai enam orang berusia seawal tujuh
sehingga 14 tahun.
Menurutnya, segala kos penjagaan ditanggung sepenuhnya dan
dia bersyukur kerana dengan kuasa viral, ramai yang sudi menghulurkan
sumbangan.
“Saya akui ia bukan satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi
saya hanya orang biasa. Tapi, saya rasa bersalah tidak membantu. Alhamdulillah,
selepas masukkan dalam akaun Facebook, ramai yang hulurkan sumbangan bukan saja
dalam bentuk kewangan, tapi juga makanan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian,
semalam.
Pada masa sama, katanya, dia mengambil upah mengajar
al-Quran sebagai sumber pendapatan untuk rumah anak-anak yatim itu, selain
menerima jemputan memberi motivasi agama dan kursus jenazah.
Tidak terlepas daripada tohmahan
Di sebalik usaha murninya, Mohd Zatullah bagaimanapun
melahirkan rasa kesal dengan persepsi segelintir masyarakat yang menuduhnya
mengambil duit anak yatim.
“Itu antara cabaran yang perlu saya dan isteri hadapi. Saya
buka rumah anak yatim ini bukan untuk jadi kaya, tapi atas dasar rasa
tanggungjawab.
“Sebab itulah saya buang perasaan malu, mohon sumbangan dari
orang ramai. Dengan sumbangan diberi ia boleh menjadi saham kita di akhirat
kelak,” katanya.
Selain itu, Mohd Zatullah berkata, mereka yang menghantar
anak-anak yatim ke situ akan ditemu bual terlebih dahulu bagi mengelakkan ada
yang mengambil kesempatan.
Buat masa ini, katanya, pusat jagaan itu hanya mampu
menempatkan seramai lapan penghuni lelaki.
“Kita hanya ambil anak yatim yang benar-benar layak. Bagi
penjaga pula, kita akan tengok sama ada mereka betul-betul tidak berkemampuan
atau sengaja hantar anak ke situ, sebab tak mahu ada ambil kesempatan kerana
semuanya percuma.
“Banyak lagi yang perlu ditambah baik terutama dari segi
kemudahan di sini kerana ia baru dua minggu dibuka. Sebab itulah saya membuka
peluang kepada sesiapa sahaja untuk menghulurkan sumbangan,” katanya yang kini
dalam proses membuat permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
No comments:
Post a Comment