Thursday, February 23, 2017

Balu jurutera diundang malang

Balu jurutera diundang malang
23 Feb 2017


Port Dickson: Siapa sangka kehidupan serba mewah yang pernah dinikmati keluarga ini suatu ketika dulu hilang sekelip mata, malah mereka mengikat perut hampir setiap hari selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu.

Keperitan bermula selepas empat hari suami Zainurita Haron, 53, meninggal dunia, dia bersama lima anaknya berusia antara tiga sehingga 27 tahun dihalau dari rumah sewa di Kajang, Selangor.

Zainurita berkata, lima anaknya sudah tamat sekolah, tetapi dua anak angkat yang dibela sejak kecil berusia lima dan 14 tahun masih belajar.

“Suami pergi mengejut dan kami langsung tiada wang simpanan menyebabkan beberapa anak saya menamatkan pengajian kerana tidak mampu menanggung perbelanjaan mereka.

“Semua permohonan bantuan saya ditolak kerana kami dianggap keluarga berada. Ramai tidak percaya keadaan kami, malah ada yang menuduh saya menipu kerana pendapatan suami ketika dia meninggal melebihi RM15,000,” katanya ketika menerima sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf dan Setia Kasih (PERKASIH N9) di rumah sewanya di Fasa 1, Bandar Springhill, di sini, semalam.

Katanya, walaupun arwah suami bergaji besar sebagai jurutera cari gali minyak di dua syarikat swasta, dia perlu membayar hutang bagi membebaskan dirinya daripada muflis.

“Sebaik hutang selesai, dia menghadap Ilahi ketika bertugas di pelantar minyak. Apa yang memeranjatkan, majikan suami hanya menyerahkan RM2,000 sebagai kos pengurusan jenazah tanpa sebarang pampasan.

“Saya diberitahu, majikan tidak dapat bantu walaupun suami meninggal ketika bertugas. Rumah kami duduk ini rumah keempat sejak setahun lalu dan pemiliknya memberikan notis untuk kami mengosongkan dalam tempoh seminggu.

“Mana lagi kami nak pindah sedangkan untuk makan pun berjimat,” katanya yang menyewa rumah RM500 sebulan.

Zainurita berkata, sebelum ini dia menjual nasi lemak bagi menampung perbelanjaan namun selepas keretanya rosak sejak tiga bulan lalu, mata pencariannya terputus.

- Harian Metro


No comments: