Banjir surut, hati tetap bimbang
19 April 2017
JEMPOL - BANJIR kilat bukanlah perkara asing bagi penduduk
di Kampung Baru Rompin dekat sini kerana kejadian tersebut kerap berlaku di
kawasan berkenaan.
Sebelum ini setiap kali hujan lebat, air naik hanya sehingga
ke halaman rumah, namun tidak menjejaskan kehidupan penduduk yang tidak
mengambil serius perkara tersebut.
Bagaimanapun, kejadian banjir kilat yang berlaku minggu lalu
agak luar biasa menyebabkan penduduk cemas kerana air naik dengan begitu cepat
sehingga mencecah paras peha.
Akibatnya, enam keluarga menjadi mangsa dan banyak harta
benda yang musnah sekali gus menyebabkan kerugian besar terpaksa ditanggung
oleh mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman berkata, dalam kejadian terbaharu
itu, air naik secara tiba-tiba walaupun hujan sekejap pada sebelah petang.
“Menjelang waktu solat Maghrib tiba-tiba air semakin laju
hingga naik ke paras yang agak tinggi dan boleh membahayakan keselamatan
penduduk terbabit.
“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian itu, saya terus
menghubungi penduduk lain untuk membantu menyelamatkan barang-barang di dalam
rumah mereka tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana air naik terlalu
pantas.
“Parit di kawasan ini agak dalam dan sebelum ini kalau hujan
lebat air naik sedikit sahaja namun kali ini kejadian memang di luar jangkaan,”
katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau tidak menolak kejadian itu disebabkan masalah pada
sistem perparitan di parit utama kampung itu akibat projek tanam semula kelapa
sawit serta operasi mengorek pasir di kawasan berhampiran yang menyempitkan
laluan air.
Sehubungan itu, beliau berharap agar tindakan segera diambil
oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
Sementara itu seorang mangsa, Zainuddin Mohd. Noor, 51,
berkata, banjir kilat itu menjejaskan persiapan untuk mengadakan majlis
perkahwinan anak perempuannya pada Sabtu ini kerana banyak barang-barang yang
dihanyutkan air.
“Kali ini situasi banjir kilat ini cukup membuatkan kami
sekeluarga panik. Jika sebelum ini hujan sekejap-sekejap seperti itu tidak
mengakibatkan banjir yang teruk dan kami sempat mengalihkan barang rumah ke
tempat selamat.
“Malangnya, kali ini ia berlaku begitu pantas dan kami hanya
mampu menyelamatkan dokumen penting sebelum keluar dari rumah,” katanya.