Sunday, August 14, 2011

Sertai NGO, sumbang bakti kepada masyarakat



Sertai NGO, sumbang bakti kepada masyarakat



Sinar Harian
15 Ogos 2011

SUNGAI LAYANG – Masyarakat berkemampuan diseru menyertai mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang bakti kepada masyarakat setempat baik dalam bentuk sumbangan tenaga mahupun kewangan.

Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sembilan (YAMNS), Rozmal Malakan berkata, usaha mereka itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban golongan memerlukan dan seterusnya berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, sepanjang lebih 10 tahun YAMNS ditubuhkan, pihaknya setiap tahun tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada golongan memerlukan.

“Malah, penyampaian sumbangan pada tahun ini menjadi lebih menarik lagi apabila sebuah persatuan kelab motosikal iaitu Goldwing Owners Association Malaysia (GOAM) dari Lembah Klang bersama-sama menyumbangkan modal bagi diserahkan kepada lebih 100 keluarga di seluruh Rembau bagi meringankan beban golongan memerlukan,” katanya sempena Program Kembara Ukhuwwah Ramadan di Teratak Amal, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden GOAM, Sulzaily Abdul Hamid dan Penasihat YAMNS, Dr Rosli Yaakub.

Sementara itu, Rozmal berkata, beliau amat berharap agar masyarakat setempat lebih prihatin dengan keadaan penempatan mereka supaya boleh menghulurkan bantuan atau maklumat bagi membantu golongan memerlukan.

“Malah, menjadi lebih menarik lagi sekiranya mereka sama-sama menyertai mana-mana NGO bagi membantu masyarakat setempat sepertimana dilaksanakan kita sejak 10 tahun lalu,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9428556.asp

No comments: