Sinar Harian 23 Disember 2015 REMBAU - “Tak perlu bayar...
ada minat, kesungguhan dan kesabaran, kami sanggup mengajar secara percuma
mana-mana individu yang nak menjadi tukang gunting rambut,” kata Razali Mohd
Nor, 47, ketika ditemui Sinar Harian di An-Nur BarberShop, di sini, semalam.
Razali dan sahabatnya, Ramli Yusuf, 48, mula menjadi rakan
kongsi kedai gunting rambut yang beroperasi di dalam kabin yang telah diubah
suai di perkarangan Masjid Jamek An Nur Rembau sejak 11 November lalu.
Menurut Razali, selain ingin melakukan amal jariah, dia juga
menganggap usahanya itu bagi mengikut jejak langkah bekas gurunya yang digelar
sebagai Tuan Winda kerana telah mengajar kemahiran menggunting rambut secara
percuma kepadanya.
Menurutnya, walaupun menawarkan pembelajaran secara percuma,
tidak ramai yang benar-benar berminat dan bersungguh-sungguh untuk belajar
menggunting rambut kerana bidang berkenaan memerlukan ketelitian serta
kesabaran yang tinggi.
Razali berkata, semasa mengikuti kursus di GiatMara, dia
pernah membentangkan cadangan untuk memiliki sebuah bas yang diubah suai di
dalamnya untuk menawarkan khidmat gunting rambut di lokasi tumpuan orang ramai.
Latih OKU gunting rambut
“Kini, saya dan Ramli menawarkan khidmat ajar gunting rambut
percuma di Rembau pula dan setakat ini sudah ada empat individu yang berminat
untuk belajar dengan kami termasuk Ahmad Dhaiffullah Yusoh, 23, yang merupakan
OKU pekak dan bisu sejak dari kecil lagi.
Sejak tiga minggu lalu, dua sahabat berkenaan mengajar Ahmad
kemahiran menggunting rambut di kedai mereka, Ahmad mendapat elaun sebanyak
RM180 sebulan daripada Yayasan Amal Malaysia.
Razali berkata, terdapat perbezaan dalam kaedah mengajar di
mana mereka menggunakan teknik lakaran dan menulis di atas kertas sekiranya
ingin mengajar Ahmad.
Menurutnya, bagi pelanggan yang hanya ingin menipiskan
rambut tanpa terikat mana-mana fesyen terbaru, Ahmad mampu menyempurnakan tugas
berkenaan dengan baik.
“Selama tiga minggu ini, sudah tiga orang Ahmad gunting
rambut tapi biasalah bila kita perkenalkan kepada orang, orang pun macam kurang
yakin. Namun, kita bagi jaminan akan
memantau pergerakan tangan Ahmad semasa menggunting rambut,” katanya.