Wednesday, December 23, 2015

Amal jariah dua sahabat





Sinar Harian 23 Disember 2015 REMBAU - “Tak perlu bayar... ada minat, kesungguhan dan kesabaran, kami sanggup mengajar secara percuma mana-mana individu yang nak menjadi tukang gunting rambut,” kata Razali Mohd Nor, 47, ketika ditemui Sinar Harian di An-Nur BarberShop, di sini, semalam.

Razali dan sahabatnya, Ramli Yusuf, 48, mula menjadi rakan kongsi kedai gunting rambut yang beroperasi di dalam kabin yang telah diubah suai di perkarangan Masjid Jamek An Nur Rembau sejak 11 November lalu.

Menurut Razali, selain ingin melakukan amal jariah, dia juga menganggap usahanya itu bagi mengikut jejak langkah bekas gurunya yang digelar sebagai Tuan Winda kerana telah mengajar kemahiran menggunting rambut secara percuma kepadanya.

Menurutnya, walaupun menawarkan pembelajaran secara percuma, tidak ramai yang benar-benar berminat dan bersungguh-sungguh untuk belajar menggunting rambut kerana bidang berkenaan memerlukan ketelitian serta kesabaran yang tinggi.

Razali berkata, semasa mengikuti kursus di GiatMara, dia pernah membentangkan cadangan untuk memiliki sebuah bas yang diubah suai di dalamnya untuk menawarkan khidmat gunting rambut di lokasi tumpuan orang ramai.

Latih OKU gunting rambut

“Kini, saya dan Ramli menawarkan khidmat ajar gunting rambut percuma di Rembau pula dan setakat ini sudah ada empat individu yang berminat untuk belajar dengan kami termasuk Ahmad Dhaiffullah Yusoh, 23, yang merupakan OKU pekak dan bisu sejak dari kecil lagi.

Sejak tiga minggu lalu, dua sahabat berkenaan mengajar Ahmad kemahiran menggunting rambut di kedai mereka, Ahmad mendapat elaun sebanyak RM180 sebulan daripada Yayasan Amal Malaysia.

Razali berkata, terdapat perbezaan dalam kaedah mengajar di mana mereka menggunakan teknik lakaran dan menulis di atas kertas sekiranya ingin mengajar Ahmad.

Menurutnya, bagi pelanggan yang hanya ingin menipiskan rambut tanpa terikat mana-mana fesyen terbaru, Ahmad mampu menyempurnakan tugas berkenaan dengan baik.

“Selama tiga minggu ini, sudah tiga orang Ahmad gunting rambut tapi biasalah bila kita perkenalkan kepada orang, orang pun macam kurang yakin.  Namun, kita bagi jaminan akan memantau pergerakan tangan Ahmad semasa menggunting rambut,” katanya.

No comments: