Monday, August 10, 2015

Ketinggalan kerana miskin



Ketinggalan kerana miskin
10 Ogos 2015

SEREMBAN - Walaupun pandai dalam pendidikan, namun disebabkan kesempitan hidup menyebabkan kebanyakan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sembilan (YAMNS), Norwani Ahmad berkata, semua pihak perlu memainkan peranan membantu bukan sahaja dari sudut memberi sumbangan tetapi juga pendidikan.

“Saya dapati ramai di antara anak-anak dari keluarga susah pelajarannya bagus tapi sayang, ada yang terpaksa belajar separuh jalan sahaja.

“Menjadi peranan semua pihak untuk bantu beri peluang kepada mereka kerana dengan pendidikan cemerlang dapat ubah nasib keluarga mereka kelak,” katanya ketika ditemui pada bengkel Skor A Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015, di sini, semalam.

Program berkenaan melibatkan seramai 75 peserta dan YAMNS yang menaja 15 daripada mereka berasal dari keluarga kurang mampu.

Selain itu, Norwani berkata, bagi memastikan pelajar memperolehi keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka juga perlu dibantu dengan bengkel dan seminar bersesuaian.

Menurutnya, ilmu diperolehi dalam kelas saja tidak mencukupi kerana ada sesetengah mereka memerlukan bantuan daripada luar.

“Dalam kelas teknik belajar dan penyampaiannya mungkin berbeza dan ada sebahagian pelajar boleh terima dan ada yang sukar untuk terima.

“Sebab itu mereka ini perlu kelas tambahan lain di luar. Setakat ini saya nampak ada perubahan dari sudut kefahaman mereka dalam sesetengah subjek dipelajari selepas mengikuti bengkel atau kelas yang kita adakan,” katanya.

No comments: