Tuesday, December 20, 2016

TAK DAPAT AMBIL KEPUTUSAN PT3 KERANA TAK BAYAR YURAN SEKOLAH



TAK DAPAT AMBIL KEPUTUSAN PT3 KERANA TAK BAYAR YURAN SEKOLAH
20 Disember 2016


PASIR MAS - Seorang pelajar tingkatan tiga hanya mampu melihat rakan-rakannya yang lain mengambil keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan semalam, kerana dia tidak mampu membayar yuran sekolah berjumlah RM180.

Mohd Fikri Mat Zainudin, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan itu tidak dapat berbuat demikian kerana duit tabungan yang cuba disimpannya untuk menjelaskan yuran tertunggak masih tidak mencukupi.

Anak sulung daripada empat beradik itu hanya mampu bertabah dengan kemiskinan hidup yang dilaluinya itu walaupun hanya memperoleh 2A dalam keputusan percubaan PT3.

Katanya, dia bukan sengaja tidak mahu membayar yuran tersebut tetapi keluarganya tidak mampu kerana ayahnya, Mat Zainudin Mat Nor, 41, sudah bertahun tidak bekerja kerana menghidap sakit lelah kronik.

"Ayah terpaksa berulang alik dua kali seminggu ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

"Begitu juga dengan adik bongsu, Farah Afrina yang berusia satu tahun tiga bulan turut menghidap lelah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buloh, di sini.

Manakala ibu, Zaira Zakaria, 31, tidak dapat keluar bekerja kerana perlu memberikan perhatian kepada ayah serta adik bongsu dan dua lagi adiknya iaitu Fatin Nadia, 12, dan  Mohd Faiz, 7.

Kata Mohd Fikri, disebabkan kemiskinan hidup juga dia terpaksa bekerja selepas tamat waktu persekolahan dengan mengambil upah mengisi ayam ke dalam bakul sejak tiga tahun lalu.

"Saya dapat upah 40 sen untuk satu bakul dan setiap hari dapatlah dalam RM20. Saya akan mula bekerja pada jam 3 petang sebaik sahaja pulang dari sekolah sehinggalah Maghrib.

"Dengan pendapatan RM20 sehari itu saya berikan kepada ibu untuk perbelanjaan harian kami dan selebihnya disimpan untuk membayar ansuran motosikal sebanyak RM210 sebulan.

"Motosikal ini sangat penting untuk kami sekeluarga kerana ia menjadi pengangkutan utama saya dan adik-adik ke sekolah," katanya.

Menurutnya, selain bergantung kepada pendapatannya, keluarga mereka turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Katanya, dia tidak pernah berkongsi masalah itu kepada cikgu kerana segan selain tidak mahu menyusahkan sesiapa.

"Walaupun begitu, saya bersyukur masih ada ada yang prihatin apabila anak perempuan, Fatin Nadia yang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Datuk Hamid Satu mendapat bantuan daripada seorang cikgu yang dikenali sebagai Zamilah Dollah.

"Cikgu Zamilah memberikan duit belanja sebanyak RM3 setiap hari kepada Fatin Nadia untuk dia belanja di sekolah. Alhamdulillah ia sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga.


No comments: