Empat beradik hilang tempat bergantung
Terpaksa urus kehidupan selepas kematian bapa, ibu
4 Ogos 2017
JEMPOL 3 Ogos - Empat beradik yang masih remaja hilang
tempat bergantung dan terpaksa memikul tanggungjawab menguruskan sendiri
kehidupan selepas kematian bapa dan ibu mereka.
Sebagai anak sulung, Roshaiza Abdul Razak, 22, kini
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap adik-adiknya iaitu Roszalina, 21, Mohd.
Haikal, 19, dan Roshairiney, 16.
Selepas kematian bapa, Abdul Razak Abdul Majid, 55
disebabkan serangan jantung pada 2013, kehidupan mereka semakin terhimpit
ekoran pemergian ibu, Rosnah Samek,52, akibat angin ahmar tahun lalu.
Menurut Mohd. Haikal, mereka kini menyara hidup melalui
pendapatan sebanyak RM35 sehari yang diperoleh Roshaiza sebagai pekerja di sebuah
warung makanan di sini.
“Alhamdulilah kami juga menerima bantuan sebanyak RM270
sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.
“Bagaimanapun, pendapatan itu tidak cukup untuk menampung
perbelanjaan kami kerana Roszalina masih menjalani latihan bekerja di Seremban,
manakala saya dan Roshairiney masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di
rumah mereka di Kampung Kuala Jempol di sini.
Muhamad Haikal yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan
Dato Mansor, Bahau di sini berkata, bagi menambah pendapatan keluarga, dia juga
mengambil upah memotong rumput jika ada permintaan daripada penduduk.
Sementara itu, Roshaiza berkata, rumah yang mereka diami
juga sudah uzur dengan bahagian bumbung sudah tercabut di sana sini.
“Mujur baru-baru ini ada bantuan atap daripada Yayasan Felda
yang dapat mengurangkan masalah kebocoran di rumah kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi
talian 013-6815272 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional,
05104-41-00007358-3 (Muhamad Haikal Abdul Razak).
No comments:
Post a Comment