Raja Muda Perlis sedih lihat kedaifan hospital
Oktober 16, 2017
Kekurangan kemudahan asas menjadikan Hospital 250 Bed
District, berhampiran Cox Bazar di Bangladesh, menghadapi cabaran getir apatah
lagi dengan hanya sebuah ambulan untuk membawa ribuan pelarian Rohingya yang
perlukan rawatan ke hospital itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
melihat suasana itu ketika berada hospital berkenaan, yang terletak kira-kira
300km dari ibu negara Dhaka itu, pada Ahad.
Baginda, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), mengetuai delegasi pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) berkaitan pelarian melawat hospital itu bagi melihat lebih dekat keadaan
mangsa pelarian yang menerima rawatan di situ.
Delegasi tersebut berada di Cox Bazar pada Ahad dan Isnin
sebelum ke Dhaka pada Selasa dan Rabu ini.
Menurut kenyataan MAIPs, baginda tersentuh dengan maklumat
yang disampaikan pakar bedah hospital berkenaan, Dr. Pu Chaw Nu yang
memaklumkan bahawa keperluan paling mendesak adalah ambulan yang kini hanya
sebuah yang beroperasi berbanding ribuan pesakit yang memerlukannya.
Selain itu, kakitangan sokongan seperti pembantu perubatan
dan doktor tidak mencukupi serta jumlah katil yang terhad sehingga memaksa
pesakit diletakkan di atas lantai.
Memetik kenyataan pakar itu, hospital berkenaan memerlukan
segera bantuan pelbagai pihak bagi menyediakan keperluan yang lebih wajar
kerana ia membabitkan nyawa pelarian yang saban hari tidak putus memasuki
Bangladesh.
Bilik bedah juga adalah terhad dan peralatan yang sedia ada
juga hanya asas serta tidakdapat digunakan untuk pembedahan yang lebih rumit,
menurut pakar itu.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs
bersedia membantu pihak yang berminat untukmembantu pelarian secara sukarela
yang kini dianggarkan berjumlah setengah juta orang.
Baginda akan berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi
mencari penyelesaian kepada keperluan yang mendesak termasuk menambah jumlah
ambulan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment