Wednesday, March 25, 2015

Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain



Kisah kesempitan hidup masyarakat di bawah ini ialah segelintir kecil sahaja yang dipaparkan di dada akhbar. Masih ramai lagi hidup susah begini. Ambil masa seketika renung kisah di bawah ini. Tak perlulah salahkan mana-mana pihak, JKM ke, Pusat Zakat ke, Wakil Rakyat ke, AJK Masjid ke, pihak sekolah ke. Bahkan mereka yang hidup susah begini, ada yang adik beradik sendiri tak mahu tolong, bukan setakat tak mahu tolong, malahan menghalang orang lain untuk tolong. Inilah hakikat masyarakat kita, kita mampu kita tolong. Tak mampu kita berdoa. Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain. Biasa-biasakanlah cari orang susah, barulah kita tahu betapa miskinnya ukhuwwah Islamiah di kalangan kita.


Hidup sempit sejak dibuang kerja
25 Mac 2015

SEREMBAN – Kesusahan hidup menyebabkan lima beranak yang menyewa di Pangsapuri Rakyat Sri Perdana Paroi di sini, terpaksa hidup bercahayakan api pelita sejak setahun lalu berikutan tidak mampu menjelaskan bil elektrik tertunggak lebih RM1,000.

Boleh dikatakan kehidupan Nik Shahbudin Yusof, 49, sekeluarga diibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang' sejak dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan tahun lalu.

Malah dua daripada anaknya  yang berusia 15 dan 14 tahun terpaksa berhenti sekolah pertengahan bulan tahun lalu kerana bergilir-gilir menjaga isterinya Zarina Zakaria, 50, yang lumpuh.

Nik Shahbudin berkata, kehidupannya berubah selepas diberhentikan kerja manakala isterinya pula menderita lumpuh sejak dua tahun lalu sehingga mengakibatkan mata kirinya buta.

“Saya ada empat orang anak dan seorang daripadanya sudah berkahwin. Dua anak lelaki saya berhenti sekolah tahun lalu sebab cikgu selalu marah kerana tak pergi sekolah.

“Mereka bukannya tak mahu pergi sekolah, tapi kadang-kadang terpaksa bergilir dengan saya menjaga isteri yang sakit di rumah selain kami tiada pengangkutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Shahbudin, dia bimbang dengan masa depan anaknya itu dan berharap mereka dapat bersekolah semula.

“Saya bukannya tak mahu bekerja, tapi saya tak tahu nak kerja apa dan tiada kemudahan pengangkutan.

“Dulu saya ada motosikal tapi, kemudian rosak. Bila nak baiki, perlukan duit sedangkan duit itu lagi penting untuk beli makanan,” katanya.

“Saya dapat menyewa di rumah ini pun hasil bantuan Wakil Rakyat, tapi sejak tinggal di sini tiga tahun lalu kami langsung tak bayar sewa.

Sunday, March 22, 2015

Bantulah mereka


Jangan terkejut, di Rembau ada keluarga yang kurang berkemampuan tinggal dalam rumah usang sebegini.

Kami sedang berusaha mengumpul dana untuk membantu keluarga ini.

Kepada mereka yang ingin sama membantu, bolehlah hubungi saya 0122267406.

Hj Rozmal bin Malakan
22 Mac 2015

Tuesday, March 10, 2015

SEMINAR KECEMERLANGAN SPM 2015

SEMINAR KECEMERLANGAN SPM 2015
Teknik Menjawab Terbaik - Siri 1
Tarikh : 15 Mac 2015, AHAD
Masa : 8.30 pagi hingga 2 ptg
Tempat : Dewan D Ark , Taman Sri Kasih , Senawang
Anjuran : YAMN9

Khusus untuk pelajar-pelajar SPM Tahun 2015
Terhad 50 peserta sahaja
Yuran cuma RM10
Untuk pendaftaran sila hubungi Sdr Saiful 0129718829 , 0136840323 Whatsapp

Tentatif
8.00 pagi : Pendaftaran
8.30 pagi : Motivasi Pelajar Bersama Juara PU 2014 Ustaz Azman Syah - PU AZMAN
9.30 pagi : Slot Cemerlang untuk Subjek Bahasa Inggeris
11.30 pg : Slot Cemerlang untuk Subjek Sejarah
130 tgh : Sesi Perkongsian Pengalaman bersama Pelajar Cemerlang SPM tahun 2014
2.00 ptg : Bersurai

Saturday, March 7, 2015

Rumah usang menanti rebah

InsyaAllah, dengan izin Allah kami akan cuba membantu baik pulih rumah makcik ini. Buat masa ini kami sedang menyiapkan gerai keluarga memerlukan di Lubok China dan rumah usang sebuah keluarga yang tidak berkemampuan di Rembau, hasil sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin membantu makcik di Pilah ini harap hubungi saya Hj Rozmal 012-2267406. Tawaran dibuka kepada sesiapa saja yang ingin membantu makcik ini termasuk anak-anak Negeri Sembilan di perantauan.


Rumah usang menanti rebah
7 Mac 2015

KUALA PILAH - Sebuah rumah usang didiami 12 penghuni di Kampung Talang Tengah, di sini, memerlukan bantuan baik pulih berikutan kediaman itu mengalami pelbagai kerosakan terutama pada atap dan dinding.

Pemilik rumah, Khalimah Sabtu, 82, melahirkan rasa sedih kerana bantuan rumah percuma didakwa menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu semakin uzur.

Menurutnya, pada awal 80-an, semasa pembinaan, rumah tersebut tiada bilik.

“Makcik dan arwah suami buat bilik di rumah ini sedikit demi sedikit kerana ketika itu kami sudah dikurniakan tiga anak.

“Sekarang, makcik tinggal di rumah ini bersama cucu dan cicit. Cucu perempuan makcik berniaga kedai makan di hadapan rumah ini untuk menampung perbelanjaan harian dan makcik ada juga terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM300 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Khalimah berkata, jika dilihat dari luar, rumah ini nampak seperti biasa tetapi sebenarnya banyak kerosakan di dalamya.

Menurutnya, dinding rumah dimakan anai-anai, atap pula bocor dan keadaan tanah rumah agak rendah serta sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Dia juga mendakwa pernah menerima bantuan baik pulih rumah pada 2011 namun kerja yang dilakukan tidak sempurna.

“Makcik harap ada pihak yang sudi bantu baiki kerosakan rumah ini,” katanya.

Ibu tunggal 3 anak, elektrik dipotong telah dibantu

Alhamdulillah, hanya dengan izin Allah jua ibu tunggal, 3 anak di Senawang yg sebelum ini lebih seminggu bekalan elektrik dipotong telah dibantu.

Pada 5 Mac 2015, sahabat saya Sdr Hassan Tamby mengajukan masalah ibu tunggal ini yg hanya bekerja kontrak dgn gaji RM750. Elektrik lebih seminggu dipotong kerana tunggakan sebanyak RM1395.90 , tunggakan sewa rumah pula dah 3 bulan sebanyak RM1080.

Pada 5 Mac status permohonan Baitul Mal ialah KIV, pada 6 Mac telah diluluskan hanya menunggu cek utk ditandatangan.

Semalam 6 Mac, ada hamba Allah yg saya tak kenal siapa telah menjelaskan semua bil elektrik yg tertunggak. Hari ini dikhabar bekalan elektrik telah disambung semula.

Terima kasih kepada semua pihak yg membantu ibu tunggal ini termasuk yg mendoakan, yg share artikel sebelum ini, terutama yg memberi sumbangan wang ringgit.

Semoga ianya mendapat keredhaan ALLAH lagi diberkati

Thursday, March 5, 2015

Ibu tunggal, 3 anak, rumah dipotong bekalan elektrik



Baru dapat maklumat dari sahabat saya mengatakan seorang ibu tunggal di Senawang bersama 3 orang anaknya yang masih bersekolah sudah seminggu bergelap kerana bekalan elektrik dipotong tidak mampu membayar tunggakan bil.

Sementara menunggu kelulusan pihak Baitul Mal yang dipohon pada 17 Februari 2015 dengan No Rujukan Baitul Mal 2015/BAK/02-0199 , pihak kami sedang mengusahakan untuk membantu keluarga ini.

Tunggakan elektrik sebanyak RM 1133.30, belum masuk tunggakan sewa rumah 3 bulan x RM360. Ibu tunggal ini hanya bekerja kontrak dengan gaji bersih sekitar RM750.

Mereka yang ingin membantu boleh hubungi saya Hj Rozmal 012-2267406.

5 Mac 2015

Tuesday, March 3, 2015

RM40 besar ertinya utk keluarga ini.

Alhamdulillah, keluarga di bawah ini telah dibantu hasil sumbangan orang ramai ;

Assalammualaikum..encik sy nk minta tlg sikit..sy nk pinjam duit sikit..sementara nk tggu gaji..dpt pinjam 30-40 pun jadilah..nk buat belanja dapur sikit..