Saturday, March 7, 2015

Rumah usang menanti rebah

InsyaAllah, dengan izin Allah kami akan cuba membantu baik pulih rumah makcik ini. Buat masa ini kami sedang menyiapkan gerai keluarga memerlukan di Lubok China dan rumah usang sebuah keluarga yang tidak berkemampuan di Rembau, hasil sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin membantu makcik di Pilah ini harap hubungi saya Hj Rozmal 012-2267406. Tawaran dibuka kepada sesiapa saja yang ingin membantu makcik ini termasuk anak-anak Negeri Sembilan di perantauan.


Rumah usang menanti rebah
7 Mac 2015

KUALA PILAH - Sebuah rumah usang didiami 12 penghuni di Kampung Talang Tengah, di sini, memerlukan bantuan baik pulih berikutan kediaman itu mengalami pelbagai kerosakan terutama pada atap dan dinding.

Pemilik rumah, Khalimah Sabtu, 82, melahirkan rasa sedih kerana bantuan rumah percuma didakwa menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu semakin uzur.

Menurutnya, pada awal 80-an, semasa pembinaan, rumah tersebut tiada bilik.

“Makcik dan arwah suami buat bilik di rumah ini sedikit demi sedikit kerana ketika itu kami sudah dikurniakan tiga anak.

“Sekarang, makcik tinggal di rumah ini bersama cucu dan cicit. Cucu perempuan makcik berniaga kedai makan di hadapan rumah ini untuk menampung perbelanjaan harian dan makcik ada juga terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM300 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Khalimah berkata, jika dilihat dari luar, rumah ini nampak seperti biasa tetapi sebenarnya banyak kerosakan di dalamya.

Menurutnya, dinding rumah dimakan anai-anai, atap pula bocor dan keadaan tanah rumah agak rendah serta sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Dia juga mendakwa pernah menerima bantuan baik pulih rumah pada 2011 namun kerja yang dilakukan tidak sempurna.

“Makcik harap ada pihak yang sudi bantu baiki kerosakan rumah ini,” katanya.

No comments: