Wednesday, March 25, 2015

Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain



Kisah kesempitan hidup masyarakat di bawah ini ialah segelintir kecil sahaja yang dipaparkan di dada akhbar. Masih ramai lagi hidup susah begini. Ambil masa seketika renung kisah di bawah ini. Tak perlulah salahkan mana-mana pihak, JKM ke, Pusat Zakat ke, Wakil Rakyat ke, AJK Masjid ke, pihak sekolah ke. Bahkan mereka yang hidup susah begini, ada yang adik beradik sendiri tak mahu tolong, bukan setakat tak mahu tolong, malahan menghalang orang lain untuk tolong. Inilah hakikat masyarakat kita, kita mampu kita tolong. Tak mampu kita berdoa. Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain. Biasa-biasakanlah cari orang susah, barulah kita tahu betapa miskinnya ukhuwwah Islamiah di kalangan kita.


Hidup sempit sejak dibuang kerja
25 Mac 2015

SEREMBAN – Kesusahan hidup menyebabkan lima beranak yang menyewa di Pangsapuri Rakyat Sri Perdana Paroi di sini, terpaksa hidup bercahayakan api pelita sejak setahun lalu berikutan tidak mampu menjelaskan bil elektrik tertunggak lebih RM1,000.

Boleh dikatakan kehidupan Nik Shahbudin Yusof, 49, sekeluarga diibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang' sejak dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan tahun lalu.

Malah dua daripada anaknya  yang berusia 15 dan 14 tahun terpaksa berhenti sekolah pertengahan bulan tahun lalu kerana bergilir-gilir menjaga isterinya Zarina Zakaria, 50, yang lumpuh.

Nik Shahbudin berkata, kehidupannya berubah selepas diberhentikan kerja manakala isterinya pula menderita lumpuh sejak dua tahun lalu sehingga mengakibatkan mata kirinya buta.

“Saya ada empat orang anak dan seorang daripadanya sudah berkahwin. Dua anak lelaki saya berhenti sekolah tahun lalu sebab cikgu selalu marah kerana tak pergi sekolah.

“Mereka bukannya tak mahu pergi sekolah, tapi kadang-kadang terpaksa bergilir dengan saya menjaga isteri yang sakit di rumah selain kami tiada pengangkutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Shahbudin, dia bimbang dengan masa depan anaknya itu dan berharap mereka dapat bersekolah semula.

“Saya bukannya tak mahu bekerja, tapi saya tak tahu nak kerja apa dan tiada kemudahan pengangkutan.

“Dulu saya ada motosikal tapi, kemudian rosak. Bila nak baiki, perlukan duit sedangkan duit itu lagi penting untuk beli makanan,” katanya.

“Saya dapat menyewa di rumah ini pun hasil bantuan Wakil Rakyat, tapi sejak tinggal di sini tiga tahun lalu kami langsung tak bayar sewa.

No comments: