Monday, December 22, 2014

Derita ketumbuhan dalam otak

Kepada mereka yang ingin membantu keluarga ini yang amat memerlukan sokongan kita semua, sila hubungi terus Puan Noor Hasni 017-227 0940.


Derita ketumbuhan dalam otak

Seremban: “Sepatutnya kakak (anak) sudah boleh bersekolah dan bermain. Tetapi, akibat penyakit kanser, dia hanya mampu terlantar di katil,” kata suri rumah, Noor Hasni Hasan, 28, ibu kepada seorang kanak-kanak, Dania Alani Mohd Amry, 7, yang mengidap penyakit kanser medulloblastoma dan hidrosefalus.

Noor Hasni ditemui di rumahnya di Kampung Batu 3, Mambau, di sini, semalam, begitu sedih apabila anaknya itu kini tidak mampu berjalan berikutan mengalami ketumbuhan dalam otak dan kepala berair sejak Mei tahun lalu.

Menurut Noor Hasni, kedua-dua penyakit itu dikesan Mac tahun lalu apabila Dania Alani yang ditempatkan di rumah pengasuh dilihat lemah dan berjalan dalam keadaan terhincut-hincut.

Noor Hasni berkata, pada mulanya dia menyangka anak sulung daripada empat beradik itu cuba menarik perhatian apabila menunjukkan perubahan sikap.

“Sehinggalah pengasuh memaklumkan anak sukar untuk bangun dan sering menangis, saya membawanya ke Klinik Kesihatan Seremban, di sini pada Mac tahun lalu sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS),” katanya.

Menurutnya, anaknya itu kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor memaklumkan Dania Alani mengalami ketumbuhan dalam otak serta kepala berair.

“Selepas pemeriksaan dibuat pada Mei tahun lalu, dia tidak lagi dapat berjalan. Saya begitu sedih melihat keadaannya, apa lagi dia sepatutnya sudah memasuki tahun satu,” katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di daerah ini.

Menurutnya, Dania Alani juga tidak boleh makan seperti biasa dan hanya minum susu menggunakan tiub melalui hidung selain memakai lampin pakai buang.

Masalah mereka bertambah parah berikutan suaminya, Mohd Amry Abd Halim, 32 yang bekerja di bengkel kimpalan besi berpendapatan RM1,700 sebulan.

Katanya, dengan pendapatan tidak seberapa itu, suaminya terpaksa memperuntukkan RM1,200 sebulan untuk membeli lampin dan susu khas buat anaknya itu, sedangkan mereka perlu menanggung tiga lagi anak iaitu Muhammad Aqil Lotfi, 5, Muhammad Dhiyauddin Rayyan, 3, dan Nur Delilah Aisyahyang, 10 bulan.

“Setiap hari Dania Alani minum susu sebanyak lapan kali iaitu 400 gram dan menggunakan tiga lampin. Kami runsing memikirkan mencari pendapatan lebihan,” katanya yang tertekan kerana doktor memaklumkan tidak tahu punca sebenar penyakit itu selain tiada rawatan.

Katanya, dia mengharapkan orang ramai yang bersimpati untuk membantunya dengan menghubungi menerusi talian 017-227 0940.

18 Disember 2014

No comments: