Tuesday, November 7, 2017

Yayasan Amal Malaysia bersama dalam Program Multaqa' NGO Islam




Yayasan Amal Malaysia bersama dalam Program Multaqa' NGO Islam

OLEH: RUSILAH MD SOM
rusilah1960@gmail.com

SEREMBAN, 6 November 2017 - Program Multaqa' NGO Islam Negeri Sembilan telah berlangsung di Klana Resort Hotel di sini semalam. Program yang berlangsung buat kali kedua ini adalah anjuran Bahagian Rundingcara Aqidah Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Aturcara majlis yang disusun bermula jam 9 pagi dan selesai jam 6 petang.

Lebih kurang 13 NGO Islam yang telah menyertai program pada kali ini termasuklah Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Negeri Sembilan. Gabungan NGO Dakwah Islam ini bernaung di bawah nama GANDA yang dipengerusikan oleh Profesor Dr Badlishah Sham Baharin.

Program anjuran Jabatan Mufti itu telah menampilkan tiga orang tokoh iaitu Dr Muhammad Yusry Mazlan, Profesor Dr Badlishah Sham Baharin dan Brother Shah Kirit Kalkulal Govinji.

Ketiga-tiga mereka telah membentangkan tajuk ; Halatuju NGO Islam Dalam Memartabatkan Jabatan Mufti, Gerakerja NGO Islam Dalam Memartabatkan Ummah dan Penyucian Jiwa Dalam Gerkerja Dakwah.

Antara fokus utama penubuhan GANDA ialah membantu misi dakwah Jabatan Mufti. Slot bengkel yang di terajui oleh Setiausaha Agung GANDA, Zamri Vinodh telah mencapai kesepakatan dan telah diterjemahkan dalam tiga resolusi.

Resolusi tersebut ialah; Memperkasakan GANDA sebagai badan yang menyatukan semua NGO dakwah di Negeri Sembilan. Yang kedua ialah membantu Jabatan Mufti untuk menangani masalah murtad dan menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat. Akhirnya ialah bersedia untuk menyumbang kepakaran dan tenaga kepada agensi-agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah ummah.

Perasmian penutup telah di sempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato' Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Memetik antara ucapan beliau, antaranya menyarankan semua agar tidak berpecah-belah kerana perpecahan ini bakal menjadikan orang-orang Islam lemah.

Akhirnya, memetik ucapan Mufti Negeri Sembilan dalam majlis penutup, "Saya mewakili Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih atas komitmen semua (GANDA) untuk bersama Jabatan Mufti dalam menangani pelbagai isu demi untuk memartabatkan Islam di Negeri Sembilan".

Rusilah Md Som dan Hassan Din Ibrahim yang mewakili YAM dalam program tersebut telah menyatakan keazaman untuk komited dalam NGO Islam demi untuk memartabatkan Islam itu berada di tempat tertinggi.


No comments: