Wednesday, November 12, 2014

Bagaimana untuk membantu mereka yang tersepit hutang along?


Saya dihubungi oleh satu keluarga dari Selangor yang tersepit dengan hutang along. Mereka mengambil hutang along akibat kesempitan hidup. Suami bekerja biasa saja, manakala isteri merupakan surirumah sepenuh masa menjaga beberapa anak yang masih bersekolah dan belum bersekolah.

Akibat terpedaya dengan janji manis along yang kononnya ingin membantu, bayarannya mudah dan sebagainya, mereka meminjam tidak sampai RM7000, namun kad gaji ATM suami dipegang oleh along selama 5 tahun dengan kadar bayaran bulanan yang agak banyak. Akhirnya mereka hanya dapat RM300 untuk menyara hidup sebulan. Dengan RM300 inilah mereka membayar bil, bayar ansuran rumah, belanja dapur dan sebagainya.

Sekiranya suami buat kerja lebih masa dapatlah mereka lebih sedikit, namun tidak cukup untuk membayar semuanya.

Saya katakan pihak kami Yayasan Amal tidak mampu hendak membayar semua hutang along tersebut, hanya mampu untuk mencari individu yang boleh membantu membayarkan bil mereka, ansuran rumah mereka yang sekian lama tertunggak, sekiranya ALLAH izinkan.

Mereka ada mendapat bantuan persekolahan dari Pusat Zakat, namun tidak layak untuk mendapatkan bantuan lain termasuk JKM kerana suami bekerja dan pendapatan pada slip gaji adalah melebihi RM1000 sebulan. Saudara mara mereka ada membantu, tetapi sekadar keperluan asas, kerana mereka juga mempunyai tanggungan sendiri.

Memang ramai golongan begini, mereka memang susah, amat susah. Tetapi tidak dapat dibantu, diatas sebab teknikal tadi. Hanyalah kita sebagai saudara se Islam yang dapat membantu dengan izin ALLAH.

Kini tunggakan ansuran rumah mereka untuk 6 bulan ialah sekitar RM1500, tungggakan bil elektrik sekitar RM800, bil air sekitar RM200 dan beberapa hutang lain lagi.

Fenomena along ini sebenarnya amat serius. Kita semua perlu kawal iklan along ini. Pihak berkuasa tidak cukup kakitangan untuk mengawasi setiap kawasan perumahan, yang hari ini diturunkan iklan, esok mereka naik semula. Itu tidak termasuk iklan yang dihantar rumah ke rumah, kereta ke kereta.

Kita perlu ingatkan kepada mereka yang meminjam along ini, mereka akan terperangkap dengan nyawa atau maruah mereka.

Sekiranya mereka perlukan bantuan, kita bantu salurkan ke beberapa agensi yang boleh membantu.

Masjid perlu adakan Tabung Kebajikan untuk membantu ahli kariah mereka.

Semoga ALLAH membantu kita untuk menangani fenomena along ini dengan menanamkan perasaan kasih sayang , cinta kerana ALLAH sesama kita.


Yang menjalankan amanah,

Hj Rozmal bin Malakan
Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tel : 012-2267406
FB : Rozmal Malakan
13 Nov 2014

No comments: