Saturday, November 1, 2014

Bantuan cermin mata untuk anak penoreh getah yang miskin


Susulan kisah keluarga penoreh getah yang miskin dari Kg Minching, Pedas, Rembau yang kami paparkan baru-baru ini di mana anak-anak mereka dalam keadaan rabun kerana tidak mampu membeli cermin mata, Alhamdulillah ramai pihak yang menghulurkan sumbangan. Pada 1 Nov 2014 Naib Pengerusi 2 Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan, Puan Norwani telah membawa anak-anak ini untuk diperiksa mata mereka.

Setelah diperiksa “Power” cermin mata ketiga-tiga anak ini didapati amat tinggi antara 450 ke 700. Anak-anak ini berumur antara 10 tahun ke 14 tahun. Bayangkan anak-anak ini belajar di sekolah dalam keadaan yang kabur dan tidak nampak.

Bukan main gembira anak-anak ini apabila mendapat cermin mata dan melihat dengan jelas.

Wakil kami tidak sanggup untuk mengambil gambar dan memaparkan gambar rumah keluarga ini yang begitu usang. Cukup kami katakan rumah mereka ini memang begitu usang.

Terima kasih kepada para penyumbang yang menyumbang untuk keluarga penoreh getah ini di kala harga getah begitu rendah pada ketika ini serta kos harga barangan yang semakin meningkat.

InsyaAllah baki sumbangan orang ramai akan digunakan untuk membayar hutang perbelanjaan harian keluarga ini dan lain-lain keperluan asas, kerana ianya tidak mencukupi untuk membaiki rumah mereka.

Yang menjalankan amanah,

Hj Rozmal bin Malakan
Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tel : 012-2267406
FB : Rozmal Malakan

No comments: