Saturday, November 29, 2014

Keluarga dalam kesempitan menumpang di masjid


Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Masjid Bandar Baru Senawang bahawa satu keluarga iaitu suami dan isteri beserta empat anak mereka telah menumpang teduh dan tidur di masjid tersebut sejak dua hari yang lalu.

Lalu saya hubungi Encik Adnan Abdullah, Pengerusi Kompleks Saadah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang kemudiannya memaklumkan sukarelawan Skuad Mubaligh N.Sembilan akan datang ke masjid untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh keluarga ini.

Encik Zamri Vinoth dari Skuad Mubaligh N.Sembilan telah bertemu keluarga ini di Masjid Bandar Baru Senawang dalam tempoh sejam setelah saya mengutarakan permasalahan tersebut.

Alhamdulillah Encik Zamri Vinoth telah melakukan perundingan dengan keluarga ini dan beberapa pihak. Keluarga ini akan ditempatkan buat sementara waktu di sebuah tempat perlindungan.

Apa yang menariknya dalam kes ini ialah tiadanya karenah birokrasi oleh semua pihak dari pihak masjid, pihak MAINS hinggalah ke pihak sukarelawan dalam mengendalikan kes ini.

Sesungguhnya saban hari, banyak masalah masyarakat yang kita perlu tangani. Dan permasalahan ini perlu kita tangani bersama dengan meletak tepi kepentingan peribadi dan kepentingan politik.

Terus terang dikatakan lebih ramai sukarelawan diperlukan oleh semua persatuan serta NGO untuk membantu masyarakat sekeliling kita. Lebih ramai daripada kita melibatkan diri secara sukarela semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, insyaAllah pelbagai permasalahan masyarakat yang sering kita dengar dalam media akan berkurangan.

Sikap berpeluk tubuh, tunggu dan lihat, mengkritik tidak akan membantu.

Ayuh, mari kita sebarkan kasih sayang, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.

Yang menjalankan amanah,

Hj Rozmal bin Malakan
Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tel : 012-2267406
FB : Rozmal Malakan
29 Nov 2014

No comments: